• 26 Okt 2020 | 9 Rabiul Awal 1442

DITC Rai Kakitangannya

Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 23 Mei - Darul Iman Training Centre (DITC) kelmarin meraikan kakitangannya seramai 45 orang sempena hari lebaran yang bakal menjelang.

Penyerahan sumbangan berbentuk wang tunai dan kuih raya telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) DITC, Hazri Jusoh di Dewan Abdul Rahman Limbong, DITC, Teluk Kalong.

Beliau yang juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal ketika berucap merakamkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan yang selama ini bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

"Saya mewakili ALP mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pekerja yang memberi komitmen dalam menjalankan tugas masing-masing bagi memenuhi kehendak pelanggan kita," katanya.

Hazri turut memberitahu, pihaknya akur dengan keadaan penularan pandemik COVID-19 di mana DITC terpaksa membatalkan banyak tempahan daripada pelanggan.

"Kita terpaksa membatalkan semua tempahan pelanggan disebabkan penularan COVID-19 yang sedang melanda negara kita sekarang.

"Bukan DITC sahaja yang terjejas disebabkan perkara tersebut, malah semua perniagaan yang melibatkan sektor pelancongan di negara kita turut terjejas setidak-tidaknya sehingga akhir tahun ini," ujarnya.

Hadir sama dalam majlis ringkas tersebut, Ketua Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Mohd Ezani Yahya, Ketua Eksekutif Syariah, Muhammad Al Amin Salleh dan beberapa orang pegawai.

DITC merupakan salah satu anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu yang menyediakan perkhidmatan kemudahan untuk latihan bagi syarikat kerajaan, badan berkanun dan swasta yang beroperasi di Teluk Kalong.


Tag: