• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Doa Rahsia Kejayaan Pelajar STAM

DUNGUN, 17 Julai- Sentiasa berdoa dan yakin dengan pertolongan Allah menjadi rahsia kejayaan seorang pelajar Institut Pengajian Islam (INSPI) Kemaman, Iffah Aqilah Mohd Hanifuddin, 20, selepas muncul pelajar terbaik sekolah itu dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan baru-baru ini.

Walaupun menyedari diri tidak sepintar kakaknya Nur Aina Mutmainnah yang pernah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik STAM 2020 Negeri Terengganu dengan memperoleh 'Mumtaz Sofi', Iffah Aqilah tetap bertekad untuk menyahut cabaran mengulangi kejayaan kakaknya. 

"Setiap kali peperiksaan penting iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya gagal mendapat 'straight' A' berbanding kakak yang sentiasa berjaya cemerlang. 

"Jadi, saya berusaha sahut cabarannya supaya dapat menggembirakan ummi saya, dengan usaha dan doa, " katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Meraikan Pelajar Cemerlang SPM, STPM dan STAM 2021 DUN Rantau Abang di Teluk Lipat Sea View Inn di sini, baru-baru ini. 

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu meraikan 58 pelajar yang memperolehi sekurang-kurangnya 6A SPM dan Jayyid Jidan STAM. 

Sementara itu, Muhammad Amir Asyraf Kasman, 18 yang berjaya memperolehi 12A dalam SPM 2021 berkata, dia sentiasa yakin doa banyak membantunya mencapai kejayaan. 

"'Study' tu memang kena 'study' tetapi kita berdoa, percayalah, kalau tidak 'sampai tu' (tidak dimakbulkan) ada rezeki lain, kalau sampai tu (dimakbulkan), rezeki kita, yang penting kita yakin Allah mendengar doa-doa kita," katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor.

Sementara itu Alias turut mengingatkan agar mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pusat Pengajian Tinggi (IPT) sentiasa mendalami Islam. 

"Biar nanti apa sahaja bidang pekerjaan kita, kita beramanah dalam menjalankan tugas, tidak 'curi tulang', tidak rasuah, jadi jurutera, jurutera yang jujur dan tidak menipu," katanya. 


Tag: