lightning-solid
Berita :
Dr. Azman Lancar Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat DUN Jabi
Dr. Azman Lancar Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat DUN Jabi
Hidayah Azlin
2 jam yang lepas
51

SETIU, 22 Disember – Kerajaan Negeri Terengganu telah mengisytiharkan bulan Rejab sebagai Bulan Penghayatan Ibadat Solat dalam usaha memperkasakan pegangan agama dan kualiti ibadah dalam kalangan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif kerajaan negeri bagi mengajak masyarakat terus mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui rukun Islam yang kedua itu.

Menurut beliau, pelancaran program peringkat DUN Jabi itu telah dilaksanakan malam tadi, bersempena dengan kehadiran tarikh 1 Rejab 1447H.

"Bulan ini akan diisi dengan pelbagai pengisian ilmu yang bertujuan mengajak rakyat di DUN Jabi khususnya, untuk sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki mutu solat mereka.

"Pengisytiharan ini bukan bermakna pada bulan-bulan lain kita tidak perlu bersolat, namun ia adalah usaha khusus untuk memberi penekanan dan kesedaran yang lebih mendalam," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penghayatan Bulan Solat di Masjid Kampung Gong Pasir, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Azman menjelaskan bahawa tanggungjawab mengajak manusia mendirikan solat adalah amanah berterusan yang perlu digalas oleh setiap umat Islam sehingga hari kiamat.

Beliau turut menekankan bahawa kesempurnaan solat merupakan tunjang utama dalam pembinaan sahsiah diri yang akan memberi kesan positif kepada institusi keluarga dan masyarakat.

"Marilah kita bersama-sama saling beringat tentang betapa pentingnya ibadat solat ini dijaga dan didirikan dengan sempurna.

"Ia adalah asas penting untuk kita membentuk sebuah keluarga, masyarakat, negeri dan negara yang diberkati serta diredhai Allah," tambah beliau lagi.

Sepanjang bulan Rejab ini, pelbagai aktiviti keagamaan dan dakwah dijangka akan dipergiatkan di seluruh DUN Jabi bagi memastikan mesej penghayatan solat dapat sampai ke semua lapisan masyarakat.


Artikel Berkaitan