• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Dr Khairuddin Cakna Peniaga Pasar Batu Enam

KUALA NERUS, 22 Mac - Golongan peniaga pasar merupakan antara yang terkesan pendapatan bulanan mahupun harian sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lepas.

Melalui beberapa aduan peniaga di Pasar Batu Enam mengenai keadaan tersebut, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus menyampaikan sumbangan khas bagi membantu golongan itu memulakan kembali perniagaan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah menyempurnakan sumbangan tersebut ketika pertemuan santai bersama peniaga di Pasar Batu Enam, di sini pagi semalam.

“Saya harap dengan bantuan dan peruntukan ini dapat membantu sedikit sebanyak para peniaga untuk memulakan kembali perniagaan yang terjejas,” kata beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi. 

Menurutnya lagi, peruntukan tersebut diusahakan pihaknya kepada 350 peniaga yang telah berdaftar di bawah Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Nerus.

Pengerusinya, Mustafa Ismail memberitahu, pihaknya turut menerima bantuan sejumlah RM26,000 khusus untuk peniaga di Dataran Wakaf Tembesu yang juga diserahkan dalam program tersebut.

Ketika ditemui pemberita, salah seorang penerima bantuan, Sheikh Jaafar, atau dikenali sebagai 'Pak Seh' berkata, perniagaan beliau sangat terjejas disebabkan kurang sambutan daripada pembeli sejak Covid-19 melanda tahun lalu.

Walaubagaimanapun, beliau meluahkan rasa syukur dan gembira serta berbesar hati dengan peruntukan itu dan berharap inisiatif tersebut dapat diteruskan bagi membantu nasib peniaga terjejas.


Tag: