KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pernah bertarung dalam kehidupan apabila berhadapan saat getir diuji penyakit kanser.
Katanya, sebagai seorang insan yang pernah melalui detik berdepan dengan ujian terbabit menjadikan dirinya sangat memahamai betapa getirnya perjalanan hidup yang dilalui.
"Ia bukan sekadar ujian fizikal, tetapi juga ujian emosi, mental dan keimaman . Ada hari yang terasa lemah, ada detik yang hampir membuat kita berputus asa.
"Namun, di situlah kita belajar erti sebenar pergantungan kepada Allah SWT (bahawa) kekuatan bukan datang daripada diri kita semata-mata, tetapi daripada rahmat dan kasih sayang Allah yang tidak pernah putus.
"Selagi kita tidak berputus asa, selagi itu harapan sentiasa ada," ujarnya menerusi satu kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Ujarnya, bersempena dengan Hari Kanser Sedunia beliau ingin menyampaikan penghargaan setinggi-tingginya kepada ahli keluarga, petugas kesihatan rakan-rakan, serta orang sekeliling yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan semangat untuk penghidap penyakit kanser.
"Semoga semua pejuang kanser terus diberikan kekuatan dan kesembuhan. Jangan pernah putus asa dengan rahmat Allah SWT.
"Sesungguhnya setiap kesakitan itu tidak sia-sia, dan setiap kesabaran itu pasti ada hikmahnya," ujarnya.