• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Dr Samsuri Umum Cuti Ahad 30 September


IPOH - Kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkan 30 September 2018 iaitu hari Ahad sebagai cuti peristiwa bagi Negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ianya khusus bagi meraikan kejayaan Kontinjen Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Kontinjen Terengganu yang telah beraksi dengan cemerlang.

“Pasukan kita telah berjaya memungut 56 pingat emas, 51 pingat perak dan 53 pingat gangsa seterusnya dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SUKMA 2018.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada Azreen Nabila Alias yang telah menerima Anugerah Atlet Wanita Terbaik SUKMA Perak 2018,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini (22 September).

Kejayaan Kontinjen Negeri Terengganu merampas kembali gelaran Juara SUKMA ini sekaligus melunaskan "Win Back Mission" yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

“Tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam catatan sejarah ini.

“Harapan saya agar dengan kejayaan ini dapat membawa roh riadhah dan menggalakkan lagi aktiviti bersukan kepada rakyat Terengganu.

“Semoga kita semua dapat menjalani gaya hidup yang sihat dan sejahtera,” tambahnya.

Majlis Meraikan Juara SUKMA 2018 bersama kontinjen atlet serta pegawai akan diadakan pada hari Ahad (23 September 2018) pada jam 5.00 petang bertempat di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu.


Tag: