lightning-solid
Berita :
Dua Anak Jati Marang Terima Pengiktirafan dalam Anugerah
Dua Anak Jati Marang Terima Pengiktirafan dalam Anugerah
Rohayati Ripin
6 jam yang lepas
83

KUALA NERUS, 13 Februari  – Dua wanita anak jati Marang, Terengganu  menerima pengiktirafan dalam Anugerah Ikon Hijab dan Anugerah Pendakwah Muda atas komitmen serta sumbangan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Bagi Anugerah Ikon Hijab, pengiktirafan diberikan kepada Wan Siti Mariam Wan Mahyudin, 29, yang dikenali ramai menerusi nama Sofeaa Marieylla di platform TikTok.

Figura muda itu aktif mempromosikan masakan tradisional Terengganu sehingga berjaya mencetuskan fenomena tular di media sosial.

 Usahanya bukan sahaja mengangkat warisan kulinari negeri, malah turut memperkukuh imej wanita berhijab yang berdaya saing dalam dunia digital.

Wanita muda itu juga pernah dijemput menyertai pelbagai rancangan televisyen berkaitan masakan seperti Rancangan Masakan Tradisional, Masakan Ramadan serta program Masak Bersama Sofia. 

Selain itu, beliau turut terlibat dalam program gaya jalan-jalan cari makan bersama influencer Terengganu.

Antara pencapaian membanggakan beliau telah memenangi Anugerah The Best of Viral Marketing serta tersenarai dalam Top 10 Gempak Most Wanted Awards 2025 bagi kategori Digital Creator Foodie Tergempak.

Ini termasuk pernah muncul dalam program terbitan TV3, Astro, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Sarawak.

Anugerah tersebut mengiktiraf komitmen dan sumbangan beliau dalam memperkasa imej wanita berhijab serta mempromosikan warisan kulinari Terengganu ke peringkat lebih luas.

Sementara itu, Anugerah Pendakwah Muda diberikan kepada Tengku Fathimah Tengku Hashim, 37, yang juga berasal dari Marang.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dan Bahasa Arab (Syariah Islamiah) dan aktif dalam pelbagai misi kemanusiaan serta dakwah, termasuk menyertai misi korban dan aqiqah di Kemboja sebanyak dua kali serta misi bantuan banjir di Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Tengku Fathimah turut berpengalaman sebagai mantan Pengerusi NGO Nisa’ Terengganu sesi 2021–2025 dan kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi bagi sesi 2025–2027. 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daie dan kini bertugas sebagai Guru Muallim serta Guru Takmir di Pejabat Agama Marang.

Selain aktif menyampaikan ceramah di peringkat NGO, sekolah dan agensi, beliau turut terlibat dalam kursus umrah berkaitan isu fiqh wanita serta berpengalaman sebagai pembantu mutawif. 

Tengku Fathimah juga merupakan Naqibah slot Santai Beliawanis di Konti Manis FM dan memiliki tauliah daripada Pejabat Agama Daerah Marang sejak 2014.

Anugerah Pendakwah Muda itu mengiktiraf komitmen dan dedikasi beliau dalam usaha dakwah serta pembangunan masyarakat, khususnya dalam kalangan wanita dan belia.

"Sebenarnya tak terungkap dan zahirnya, tidak selayaknya tetapi saya ambil sebagai pencetus semangat untuk teruskan dakwah dan ilmu yang ada. 

"Bukanlah suatu kemuliaan tetapi merasakan tanggungjawab yang lebih besar menanti," jelas beliau ketika dihubungi hari ini.

Pengiktirafan terhadap kedua-dua tokoh ini membuktikan wanita Terengganu terus memainkan peranan penting dalam memperkasa masyarakat, sama ada melalui platform digital mahupun medan dakwah.


Tag :

Artikel Berkaitan