• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Dua Kawasan di Kuala Berang Bakal Dijadikan Kawasan Perumahan

HULU TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Terengganu telah mengenalpasti dua tapak di Kuala Berang yang sesuai untuk dijadikan sebagai tapak projek perumahan kos rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Lembah Pertang dan Taman Mardec berukuran kira-kira tujuh ekar mempunyai potensi untuk dibangunkan.

Katanya, kedudukannya pula strategik kerana tidak jauh dari Bandar Kuala Berang di sini.

"Tapak pertama dilawati ialah Lembah Pertang lebih kurang tujuh kilometer dari Bandar Kuala Berang manakala tapak kedua ialah Taman Mardec terletak betul-batul berhampiran dengan bandar itu sekitar lebih satu kilometer sahaja," katanya ketika bercakap kepada media selepas lawatan ke tapak perumahan Taman Mardec di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh serta beberapa orang pegawai dari Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu.

Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata lawatan hari ini bertujuan untuk meninjau keadaan kedua-dua tapak berkenaan dan membuat penilaian kesesuaian untuk projek perumahan terbabit.

Jelasnya, ia juga bagi manfaat kepada ratusan keluarga (penduduk) dari daerah tersebut.

"Petang ini kami datang ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang Daerah Hulu Terengganu untuk melihat dua tapak yang menjadi cadangan untuk projek perumahan kos rendah di daerah ini.

"Kedua-dua tapak perumahan berkenaan berukuran lebih dari tujuh ekar, bolehlah kerajaan membuat projek perumahan kos rendah di siitu yang bakal memberi manfaat kepada ratusan keluarga di daerah tersebut," ujar beliau. 

Sebelum ini kerajaan negeri menyediakan 160 unit kediaman buat golongan berpendapatan rendah dan sederhana menerusi projek rumah pangsa mampu milik (RPMM) dengan reka bentuk paling moden di Tok Jembal, Kuala Nerus.

Projek tersebut hampir siap dan dijangka dapat diduduki selewat-lewatnya akhir tahun ini.

 


Tag: