Foto ihsan - airieldronegraphy
MARANG, 26 November – Jalan Penghubung Lebuhraya Pantai Timur (LPT) – Bukit Payong berhampiran persimpangan lampu isyarat di Laluan Persekutuan FT250 ditutup kepada semua kenderaan selepas paras air naik sehingga 0.8 meter.
Pengarah Kerjaraya Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim berkata, penutupan bermula pukul 10 pagi tadi dan dijangka berterusan sehingga dua hari bergantung kepada keadaan cuaca.
Menurut beliau, pengguna masih boleh menggunakan laluan alternatif berhampiran persimpangan lampu isyarat FT250 melalui susur keluar ke Pasir Tinggi.
Sementara itu, satu lagi laluan yang turut ditutup ialah Jalan Permaisuri–Hulu Seladang di Kampung Besut, Setiu, berikutan dinaiki air.
Setakat ini, tiada jalan alternatif disediakan bagi laluan berkenaan.
Beliau menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa berwaspada dengan keadaan semasa, khususnya ketika musim tengkujuh.