• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Dua Maut Demam Denggi Di Kuala Besut


BESUT - Dua kes kematian daripada 50 kes mangsa demam denggi dari Dewan Undangan Negeri Kuala Besut yang dirujuk dan menerima rawatan dalam tempoh dua bulan terakhir ini.

Wabak itu dikatakan merebak ke beberapa buah kampung (kg) lain termasuk Kg Tok Saboh, Kg Nail, Kg Lampu serta beberapa kampung lain sekitar Kuala Besut.

Pemuda PAS DUN Kuala Besut, Hafiz Yusoff berkata, semua mangsa wabak itu dirujuk kepada pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan secara intensif.

"Kita perlu bersama-sama mencegah wabak itu dan menghapuskan nyamuk aedes, kerana nyamuk berkenaan menjadi faktor utama penyebaran penyakit demam denggi.

"Umum tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk memerangi wabak ini, sebaliknya individu atau masyarakat perlu mempunyai kesedaran dalam hal ini.Kita perlu meningkatkan usaha bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes ini kerana jumlah tempat pembiakan nyamuk aedes semakin meningkat dan membimbangkan,"katanya.

Beliau turut melawat mangsa di HUSM, semalam sambil bertanya khabar dan mendoakan kesihatan mangsa.

Hafiz berkata, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab masing-masing bagi menyelesaikan atau mengurangkan masalah ini kerana ianya akan melibatkan nyawa.




Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh juga berharap semua pihak memandang serius perkara itu kerana ia akan membawa kesan yang sangat buruk kepada kesihatan masyarakat di Kuala Besut.

"Semua pihak perlu meluangkan masa untuk membersihkan di sekitar kawasan rumah memastikan kawasan rumah bebas daripada pembiakan nyamuk aedes.

"Aktiviti gotong-royong perlu dijalankan di semua peringkat kampung termasuk pelajar sekolah bagi membendung peningkatan kes denggi di Kuala Besut dan Terengganu amnya,"katanya.

Tag: