Isu Banjir Di Perkampungan Darul Barakah Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 7 November - Penerbitan buku adalah satu langkah dalam mendokumentasikan dasar wanita berlandaskan prinsip Islam untuk dijadikan panduan komprehensif.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, kerjasama antara Kelantan dan Terengganu ini tidak hanya melambangkan persefahaman tetapi juga mengangkat martabat dasar wanita dalam konteks negeri-negeri SG4 dan di seluruh Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa.
“Satu penerbitan buku dengan kerjasama dua negeri melalui dua urus setia wanita akan dilakukan bagi memberi penerangan lanjut mengenai Dasar Wanita Solehah Kelantan dan Dasar Wanita Terengganu yang penggubalannya berteraskan Al-Quran dan Sunnah.
“Penerbitan buku ini selari dengan dasar pemerintahan Islam yang menunjangi dua buah negeri,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media hari ini, mengulas mengenai Bengkel Penulisan dasar Wanita yang diadakan pada 2 November lalu.
Menurutnya, usaha itu mencatat sejarah sebagai penerbitan pertama secara khusus mengupas dasar wanita di kedua-dua negeri, di samping mengintegrasikan perundangan Malaysia yang relevan.
“Walaupun terdapat banyak penulisan tentang wanita, namun belum ada buku spesifik menerangkan mengenai kedua-dua dasar wanita yang telah digubal dan dilancarkan oleh kedua-dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.
“Selain Dasar Wanita ini menjelaskan kedudukan, hak dan tanggungjawab wanita dari perspektif Islam yang merangkumi nilai-nilai sejagat, ia juga mengambil kira dan memastikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perkembangan perundangan di Malaysia,” ujarnya.
Malah katanya, ia turut memberi panduan bagi negeri Kerajaan Negeri 4 (SG4) dan negeri-negeri lain yang berhasrat mengikuti jejak langkah ini dalam membangunkan dasar wanita Islam.
“Buku ini dijangka bukan sahaja menjadi rujukan utama di peringkat kebangsaan, malah turut berpotensi sebagai panduan antarabangsa.
“Semoga segala yang dirancang berjalan dengan lancer,” katanya.
Justeru itu, Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku Induksi Dasar Wanita dengan harapan buku ini boleh menjadi rujukan dan ikutan sama ada di dalam ataupun luar negara.