Jalur Gemilang
Berita :
Dua Suspek Utama Samun Kedai Emas Batu Enam Direman
Dua Suspek Utama Samun Kedai Emas Batu Enam Direman
Ahmad Zaeem Zainudin
12 minit yang lepas
20

KUALA TERENGGANU, 19 November – Dua lelaki yang dipercayai menjadi suspek utama dalam kejadian samun bersenjata di Kedai Emas Permata Al-Idrus, Batu Enam, Gong Badak, direman selama tujuh hari sehingga 25 November ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Mohd Khairi Khairudin berkata, kedua-dua suspek tempatan berusia 26 dan 37 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah penginapan di kawasan Sanglang, Ayer Hitam, Kedah, kira-kira jam 6.30 pagi, 18 November lalu.

"Hasil maklumat risikan serta penemuan baharu dalam siasatan yang dijalankan oleh pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, satu serbuan telah dilaksanakan pada 18 November 2026, kira-kira jam 6.30 pagi, di sebuah rumah penginapan di kawasan Sanglang, Ayer Hitam, Kedah.

"Dalam operasi tersebut, pihak polis berjaya menahan dua lelaki Melayu tempatan berumur 26 dan 37 tahun yang dipercayai merupakan suspek utama dalam kes samun tersebut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai penglibatan secara langsung dalam kejadian berkenaan.

Jelasnya, siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai merancang untuk melarikan diri ke negara jiran sebelum berjaya dikesan dan ditahan pihak polis.

Dalam operasi sama, polis turut merampas 47 utas gelang tangan serta tiga telefon bimbit jenis Redmi, Vivo dan Nokia bersama satu kad SIM untuk pemeriksaan lanjut.

"47 utas gelang tangan, tapi ada lagi yang kita percaya masih sama ada dalam simpanan ataupun telah dijual. Jadi, kita masih meneruskan siasatan untuk mendapatkan semula semua barang kemas tersebut," ujarnya kepada pemberita.

Mengulas mengenai barang kemas yang berjaya diperoleh semula, Mohd Khairi berkata, nilai rampasan itu dianggarkan melebihi RM100,000, manakala usaha mendapatkan semula baki barangan masih diteruskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan samun dan samun dengan bersenjata.

Terdahulu, kejadian pada kira-kira jam 10.45 pagi, 12 November lalu itu membabitkan dua lelaki yang memasuki premis berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka mengacukan parang dan mengugut pekerja kedai.

Suspek kemudian melarikan tiga dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000 menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian samun itu dipercayai berlaku dalam tempoh kira-kira 13 saat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan