Jalur Gemilang
Berita :
Penjawat Awam Terengganu Terima Bantuan Khas Kewangan RM1,500
Penjawat Awam Terengganu Terima Bantuan Khas Kewangan RM1,500
Mastura Jamal Din
11 minit yang lepas
19

KUALA TERENGGANU, 19 November - Kerajaan Negeri  mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada lebih 14 ribu anggota pentadbiran dan penjawat awam di Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM21 juta.

Beliau berkata, pemberian itu merupakan tanda penghargaan atas khidmat bakti dan dedikasi seluruh warga penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu.

"Sehebat mana pun perancangan dasar yang kita rangka, ia tidak akan menjadi realiti tanpa komitmen dan dedikasi barisan penjawat awam Kerajaan Negeri.

"Justeru, sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti yang dicurahkan oleh seluruh warga penjawat awam Negeri Terengganu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM1,500," katanya.

Pengumuman itu dibuat  ketika sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Mengulas tentang kaedah pembayaran, Ahmad Samsuri berkata  kaedah pelaksanaannya masih dalam penelitian.

"Perkara itu akan diperincikan oleh Pegawai Kewangan Negeri dari sudut teknikal, termasuk menentukan sama ada pembayaran akan dibuat secara dua kali seperti kaedah Kerajaan Persekutuan atau disalurkan secara sekali gus," ujarnya.

Menurutnya, penelitian lanjut akan dilakukan bagi memastikan kaedah dan aturan pembayaran dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan