• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Dulu Guna Kantin, Sekarang Sudah Ada Dewan

KEMAMAN, 11 Ogos - Penantian selama puluhan tahun warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman untuk memiliki dewan akhirnya berakhir apabila sebuah dewan baharu berkapasiti lebih 1,000 orang dengan saiz tiga kali ganda kantin sekolah siap dibina dengan kos pembinaan RM480,000.

Guru Besar SK Seri Iman, Wan Ja’far Wan Muda berkata, jika sebelum ini sebarang majlis dan program menggunakan kantin selepas ini murid dan para guru khususnya boleh menggunakan dewan baru berkenaan.

Tambah beliau lagi, dewan tersebut dikenali sebagai Dewan Haji Abdul Rahman Limbong sempena memperingati pejuang tanah air yang banyak berbakti di daerah Kemaman.

“Dewan ini juga akan diguna pakai oleh mangsa-mangsa banjir sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana kelazimannya ramai mangsa banjir ditempatkan di sini. Justeru mereka akan lebih selesa dengan wujudnya dewan baru ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan dewan tersebut yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, semalam.

Sementara itu, Che Alias menzahirkan kesyukuran dengan pembinaan dewan yang bakal memberikan manfaat kepada warga SK Seri Iman dan penduduk sekitar.

“Saya hadir ke SK Seri Iman pada tahun 2019 untuk program penyampaian hadiah di mana program ini diadakan di kantin. Keadaan ketika itu sesak dengan pelajar dan guru justeru saya telah mencadangkan agar dibina dewan sekolah.

“Sebanyak dua kali saya sebutkan di dalam perbahasan Belanjawan 2020 bagi pembinaan dewan ini dan dewan SMK Badrul Alam Shah. Alhamdulillah, maklum balas yang baik daripada Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri. Hasil daripada berkat doa bersama, impian memiliki dewan di sekolah ini berjaya direalisasikan," ujarnya.

Katanya, soal pendidikan amat penting untuk dititikberatkan bagi membina modal insan seterusnya melahirkan rakyat yang berketerampilan, berilmu, pihak kerajaan perlu melabur dalam pendidikan.


Tag: