• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

DUN Bandar Bakal Tubuh JPKK Tambahan di Kawasan Padat

KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar akan menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tambahan di kawasan yang padat penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, DUN Bandar mempunyai bilangan JPKK paling sedikit berbanding dengan DUN lain dengan seramai 17 orang merupakan lantikan baharu daripada 200 Ahli Jawatankuasa.

Katanya, pihaknya telah berbincang di peringkat pusat khidmat mengenai cadangan melahirkan JPKK baharu di beberapa kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai.

“Ia bagi meringankan beban JPKK dalam mengawasi penduduk.

“Kita telah berada di penggal kedua di bawah kerajaan negeri dan sudah pasti ini tanda rakyat ingin melihat kita memberikan khidmat yang seterusnya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli JPKK DUN Bandar bertempat di Tingkat 7, Hotel Paya Bunga kelmarin.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Tambah Ahmad Shah, tanggungjawab itu sangat berat dan memerlukan pengorbanan tinggi serta kerja keras semua pihak.

Menurutnya, JPKK bukan hanya menjadi mata dan telinga kerajaan sahaja bahkan melibatkan semua anggota bagi memastikan setiap permasalahan dan keluhan masyarakat ditangani dengan baik.

“Ia bertujuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik.

“Semoga pelantikan dan penyerahan watikah ini dapat menyuntik semangat baru buat JPKK-JPKK di dalam Dun Bandar,” ujarnya.

 


Tag: