• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

DUN Bukit Tunggal Peruntuk RM100 Ribu Biaya Lembu Korban

Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 19 Julai - Sebanyak RM100 ribu diperuntukkan bagi pembiayaan lembu korban yang disalurkan kepada 10 buah masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, sumbangan tersebut adalah untuk meraikan semua rakyat DUN Bukit Tunggal dengan diamanahkan kepada pihak pengurusan masjid untuk menjayakannya.

“Kita sasarkan dua ekor lembu untuk setiap masjid dengan peruntukan RM10 ribu, namun ianya juga bergantung kepada kepadatan penduduk setempat,” ujarnya.

Dr Alias Razak.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pembelian Lembu Korban kepada pengerusi-pengerusi masjid di Duyong Marina & Resort di sini kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Khidmat DUN Bukit Tunggal (bahagian Kerajaan Persekutuan), Zaharudin Zahid dan Pegawai Khidmat DUN, Wan Mohammad Nasiruddin Wan Ahmad.

Dalam majlis yang sama, beliau turut memberi sumbangan termometer digital untuk kegunaan masjid-masjid di kawasan DUN Bukit Tunggal.

Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mengingatkan supaya pihak masjid dan ahli kariah sentiasa mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan memandangkan wabak COVID-19 masih belum reda.

"Terima kasih kepada semua pengerusi masjid yang hadir dan semoga sumbangan yang terhad ini dapat menceriakan semua pihak khususnya golongan yang kurang berkemampuan selain dapat sama-sama memeriahkan sambutan Aidiladha mengikut garis SOP yang ditetapkan," jelasnya.


Tag: