lightning-solid
Berita :
Dungun Antara Penyertaan Terbanyak Walimatulurus Perdana 2025
Dungun Antara Penyertaan Terbanyak Walimatulurus Perdana 2025
Amiirullah Mansor
13 Sep 25
205

DUNGUN, 13 September – Daerah Dungun muncul antara lapan daerah dengan penyertaan terbanyak apabila seramai 30 pasangan pengantin selamat diijabkabulkan dalam Program Walimatulurus Perdana 2025 yang berlangsung hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, penganjuran itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi memudahkan pasangan muda mendirikan rumah tangga, selain memastikan mereka memulakan kehidupan berkeluarga dengan lebih teratur dan diberkati.

“Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW. Baginda bersabda, wahai anak muda, sesiapa antara kamu yang mampu berkahwin maka berkahwinlah. Nikah itu sunnahku, dan siapa yang tidak menyukainya maka dia bukan daripada golonganku.

“Justeru, kita mahu anak-anak muda Terengganu menyahut seruan ini dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Dungun, Lizan Che Mat; Pegawai Agama Daerah Dungun, Ahadi Othman; serta Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Daerah Dungun, Ahmad Faris Abdul Razak.

Menurut Satiful, perkahwinan bukan sekadar lafaz akad nikah, sebaliknya amanah besar yang bakal dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

“Apabila seorang lelaki menyebut ‘aku terima nikahnya’, itu bukan hanya menerima pasangan, tetapi menerima satu amanah dunia hingga akhirat.

“Maka setiap suami dan isteri perlu saling memahami, bersabar dan tidak mudah melafazkan perceraian, kerana talak adalah perkara yang paling dibenci Allah,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan pasangan agar tidak takut memiliki zuriat hanya kerana bimbang soal kewangan.

“Rezeki adalah ketentuan Allah. Rasulullah SAW menyebut bahawa umat Baginda yang ramai adalah kebanggaan di akhirat.

“Maka janganlah kita gusar untuk berzuriat, kerana setiap anak adalah rezeki yang membawa keberkatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah, Pejabat Agama Daerah, agensi kerajaan, serta para sukarelawan yang menjayakan program tersebut.

Secara keseluruhan, Program Walimatulurus Perdana 2025 melibatkan 192 pasangan pengantin dari lapan daerah seluruh Terengganu, dengan Dungun mencatatkan 30 pasangan.

 


Tag :

Artikel Berkaitan