Berita :
Durian Kampung Hulu Besut Diangkat Sebagai Produk Premium Melalui Pertandingan
Durian Kampung Hulu Besut Diangkat Sebagai Produk Premium Melalui Pertandingan
Rohayati Ripin
6 jam yang lepas
69

KUALA TERENGGANU, 1 Julai – Pertandingan Durian Kampung Premium Hulu Besut menjadi medan bagi mengangkat jenama dan kualiti durian kampung tempatan sekali gus menggalakkan pekebun menghasilkan buah premium yang mampu bersaing di pasaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, pertandingan kembali dianjurkan selepas berehat tahun lalu akibat pengeluaran buah yang kurang memuaskan.

Menurutnya, durian kampung Hulu Besut mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi rasa, isi yang lemak dan aroma, sehingga mendapat permintaan tinggi daripada peraih luar sanggup datang mendapatkan bekalan.

"Tujuan kita mengehadkan penyertaan kepada durian dari Hulu Besut ialah untuk mengangkat nama durian kampung tempatan agar lebih dikenali sebagai produk premium," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada penduduk DUN Hulu Besut dengan syarat setiap peserta hanya menghantar sebiji durian kampung yang dihasilkan di kawasan itu.

"Selain pertandingan durian premium, Pesta Durian Hulu Besut 2026 turut dimeriahkan dengan Pertandingan Durian Kampung Paling Besar dan  Deko Buah Durian.

"Turut diadakan, Pertandingan Memasak Lempuk Durian dan Pertandingan Teka Berat Durian sebagai usaha mempromosikan keunikan durian kampung serta produk berasaskan durian kepada pengunjung,"katanya lagi.

Justeru itu, beliau menyeru orang ramai agar hadir beramai memeriahkan suasana sambil menikmati nikmat keenakan durian bersama keluarga.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan