KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad sedang merancang secara terperinci bagi membesarkan Pelabuhan Kemaman untuk mengeksploitasi potensi yang dibawa oleh Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts Muhtar Suhaili berkata pembesaran itu dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada kawasan sekitar, termasuk peningkatan perdagangan dan peluang ekonomi yang lebih baik.
Katanya, projek jajaran sisihan laluan (spurline) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah salah satu projek utama EPIC Berhad.
“Landasan keretapi ECRL akan berakhir di dalam Pelabuhan Kemaman. Ini membolehkan kargo-kargo dihantar terus ke pelabuhan dan tiada 'double handling'.
“Faktor ini akan menarik minat pelabur-pelabur yang di sekitar Pelabuhan Kemaman, Terengganu dan negeri-negeri lain untuk menggunakan Pelabuhan Kemaman,” katanya ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Tambah Muhtar, EPIC juga mempunyai tanah-tanah di sekitar kawasan pelabuhan yang boleh digunakan oleh perniagaan-perniagaan yang akan memanfaatkan perkhidmatan ECRL sepenuhnya.
Menurutnya, pihaknya sedang berbincang dengan pelabur yang berpotensi menggunakan tanah tersebut, termasuk pelabur dari dalam dan luar negara.
“EPIC juga dalam proses menaiktaraf fasiliti-fasiliti dalam Pelabuhan untuk melengkapkan keperluan ECRL seperti pembelian kren-kren baharu yang khusus untuk kontena ECRL, membesarkan kawasan terbuka untuk disewa oleh pengguna ECRL.
“Dengan adanya kren-kren baharu setelah terpasang kesemuanya pada 2026, kapasiti pelabuhan akan ditingkatkan dari 4 juta tan metrik (MT) setahun pada masa kini ke 12 juta tan metrik (MT),” ujarnya.
Muhtar berkata, setelah siapnya projek pembesaran pelabuhan yang dijangka pada tahun 2029, kapasiti pelabuhan akan terus meningkat ke 30 juta tan metrik (MT) setahun.