KUALA TERENGGANU, 11 November – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memberi limpahan ekonomi kepada rakyat apabila kemudahan pengangkutan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha tempatan khususnya dalam sektor perniagaan dan pelancongan.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengusaha perlu mengambil peluang daripada jaringan pengangkutan berkenaan bagi memaksimumkan pergerakan barangan dan keperluan perniagaan masing-masing.
Menurutnya, kemudahan ECRL akan memberikan pulangan ekonomi sekiranya dimanfaatkan dengan perancangan dan strategi yang bersesuaian.
“Saya percaya kalau digunakan, ia masalahnya sama seperti kereta ke, lori ke kalau kenderaan itu tidak bergerak ia tidak mendatangkan apa-apa hasil. Tetapi kalau dirangka apa yang perlu dibuat ia akan mendatangkan hasil.
“Sama juga dengan ECRL, bagaimana pengusaha-pengusaha boleh memanfaatkan jalinan pengangkutan ini untuk memaksimumkan pergerakan barangan dan keperluan mereka dari satu tempat ke satu tempat. Saya rasa ia boleh membantu dari segi ekonomi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Replika Cek Bayaran Keuntungan TDM Berhad Kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga sedang mengadakan perbincangan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi membangunkan stesen-stesen ECRL supaya kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan secara optimum.
Katanya, MRL turut mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemudahan di stesen termasuk perkhidmatan dan ruang perniagaan seperti kedai tersedia sebelum operasi bermula.
“MRL juga telah melaksanakan beberapa sesi ujian sebagai persediaan sebelum perkhidmatan ECRL dibuka kepada orang ramai pada pertengahan Disember ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran ECRL turut membuka ruang kepada Terengganu untuk menerima peningkatan jumlah pelancong khususnya menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
“Kemudahan jaringan pengangkutan ini diharap dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk memudahkan pergerakan penumpang malah merancakkan aktiviti ekonomi dan perniagaan tempatan,” ujarnya.