Berita :
Ekonomi Biru Perlu Dimanfaat Sepenuhnya Pacu Pertumbuhan Negeri
Ekonomi Biru Perlu Dimanfaat Sepenuhnya Pacu Pertumbuhan Negeri
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
71

KUALA TERENGGANU, 21 April – Terengganu perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi biru sebagai pemangkin pertumbuhan negeri.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, pendekatan itu membolehkan tumpuan diberikan kepada kelestarian sektor perikanan, pemuliharaan ekosistem pesisir serta pembangunan pelancongan laut dan akuakultur.

“Usaha seperti inovasi penangkapan ikan lestari, pengurusan kawasan perlindungan laut dan penggunaan sumber laut secara bertanggungjawab akan dapat memperkukuh pendapatan masyarakat pesisir dan daya saing sektor maritim.

“Pendekatan ini amat penting dalam agenda keterjaminan makanan serta agenda pembasmian kemiskinan negeri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam titah sama, baginda menegaskan usaha berterusan kerajaan negeri setiap tahun dalam pembinaan tukun tiruan bagi meningkatkan pengeluaran hasil laut merupakan inisiatif untuk kelangsungan jangka panjang.

“Namun begitu, data pendaratan masih tidak menunjukkan angka peningkatan yang sewajarnya. Data pendaratan 2024 menunjukkan sedikit peningkatan jumlah pendaratan sebanyak 43,000 tan metrik berbanding 39,000 tan metrik pada 2023.

“Beta percaya inisiatif yang baik ini perlu disokong dengan pemerkasaan kemudahan infrastruktur perikanan lain seperti jeti pendaratan, bilik sejuk beku dan lain-lain kemudahan sokongan agar seluruh ekosistem sektor perikanan dapat berfungsi dengan efektif,” titah baginda.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan