• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Elak Jual Makanan Basi di Bazar Ramadan

MARANG, 17 Mac - Kerajaan negeri meminta peniaga bazar Ramadan di Terengganu ini agar tidak menjual makanan dan kuih-muih basi kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai mereka sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan kesihatan pengguna.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuka kaunter aduan di kesemua 55 bazar Ramadan di seluruh Terengganu.

"Orang ramai dinasihatkan membuat aduan samada mengenai makanan atau harga kepada petugas PBT yang ditempatkan di setiap bazar Ramadan untuk tindakan selanjutnya.

"Kita (kerajaan) berharap peniaga bazar Ramadan menyediakan juadah yang bersih dan tidak menjual semua jualan yang tidak habis pada keesokan hari...dan tidak meninggalkan imej buruk kepada negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kebersihan Dan Keselamatan Makanan, di Bazar Ramadan Kampung Binjai Rendah, di sini, hari ini.

Menurut Wan Sukairi, pihaknya ada menerima aduan tidak rasmi melibatkan kes keracunan dan makanan basi membabitkan peniaga bazar Ramadan pada kali ini.

"Satu kejadian di Marang dan satu lagi di Kuala Terengganu namun tiada aduan diterima sehingga kini dan kita akan menyiasat kes keracunan dan makanan basi tersebut walaupun laporan rasmi belum dibuat,"ujarnya.

Tambah Wan Sukairi lagi, pihaknya juga mengadakan kempen keselamatan mengenai peralatan yang digunakan seperti bahaya ubat stapler yang kini banyak digunakan bagi menggantikan lidi untuk pembungkusan makanan.

"Pernah terjadi kes ubat stapler tersangkut pada halkom, oleh sebab itu penggunaannya perlu diambil kira atas faktor keselamatan," jelasnya.