• 13 Apr 2021 | 1 Ramadhan 1442

Enam Lokasi Di Daerah Dungun Antara Kawasan Panas Berisiko Kebakaran

KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Enam lokasi di daerah Dungun antara 12 kawasan panas dikenal pasti berisiko mudah terbakar di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Md Hilman Abd Rashid berkata, enam lokasi itu adalah di Kampung Batu 7, Kampung Bahagia, Tok Kah, Jalan Jerangau, Kampung Tok Kah, Kampung Mahsuri, Kampung Pengkalan Jering dan Kampung Kuala Abang @ Rhu Batil.

Menurutnya, empat kawasan panas berisiko terbakar di daerah Kemaman adalah di Jalan Kebun Kelapa Pandan, Jalan Teruna di Kampung Beris Meraga, Lorong Kacang Panjang dan di Kawasan Perindustrian Kertih.

"Dua lagi kawasan panas yang dikenal pasti berisiko terbakar adalah di Ladang Tabung Haji Lembah Bidong, Setiu dan di Kampung Kerandang, Tembila, Besut," katanya mengulas kawasan panas yang dikenal pasti JBPM Negeri berisiko terbakar di seluruh negeri.

Dalam perkembangan sama, Md Hilman meminta kerjasama orang ramai terutama membabitkan 12 lokasi berkenaan agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka.

"Pengguna jalan raya terutama perokok yang melalui kawasan itu diminta tidak mencampakkan puntung rokok yang masih mempunyai bara di bahu jalan kerana kebanyakan rumput di kawasan itu kering dan mudah terbakar," ujarnya.

Untuk rekod, JBPM negeri menerima laporan sebanyak 168 kes kebakaran membabitkan hutan, kebun dan belukar di seluruh negeri sehingga semalam.


Tag: