• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Enam Lokasi Pelancongan CBT Di Besut

KUALA TERENGGANU, 22 Februari- Enam lokasi di Besut kini dikenalpasti sebagai Kawasan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) bagi merancakkan kembali sektor pelancongan Terengganu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Nergeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria, berkata dengan penambahan enam CBT di Besut, Terengganu kini mempunyai 29 CBT yang aktif mengetengahkan keunikan dan kekuatan produk serta perkhidmatan masing-masing.

Katanya, lokasi tersebut adalah Felda Selasih, Mukim Kerandang, Kampung Kubang Depu, Kampung Kayu Kelat, Pulau Perhentian dan terbaharu di Bukit Bubus, Tembila.

“Pemilihan  Bukit Bubus mempunyai kekuatan tersediri untuk dinaiktaraf sebagai CBT, antaranya memperkenalkan aktiviti paragliding. 

“Aktiviti yang semakin mendapat tempat di kalangan peminatnya mendapat tumpuan 38 negara membabitkan 74 peserta antaranya dari Nepal, New Zealand, Vietnam, Filipina, Greece, Thailand, Norway, Poland, Mongolia dan Jepun dalam penganjuran Terengganu International Paragliding Competition pada tahun  2017,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Fadli, selain Besut, Kuala Terengganu dan Marang kini mempunyai lima CBT, Kemaman dan Hulu Terengganu (4 CBT), Dungun dan Kuala Nerus (2 CBT) dan Setiu (1 CBT ).

Menurutnya, Kalang Warisan dan Dataran Batu Putih adalah contoh CBT terbaik di negeri ini kerana diasaskan sendiri oleh komuniti di kawasan terbabit dan menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negeri Terengganu.

“Penduduk turut bekerjasama sehingga terhasilnya sebuah kawasan unik yang memiliki pelbagai daya tarikan tersendiri dan pernah menerima pengunjung sehingga mencecah 1,000 orang sehari.

“Pihak kami  tidak menyasarkan jumlah tertentu penubuhan CBT dalam tempoh setahun, ini kerana mahu menumpukan jumlah CBT yang sedia ada supaya mampu mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan ekonomi kampung, penubuhan koperasi dan seterusnya menaikkan imej kampung,” ujar beliau.