• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

EPIC, Altus Kerjasama Kembangkan Perkhidmatan Pelantar di Pelabuhan Kemaman

KEMAMAN, 28 Mei – Anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad dan Altus Oil & Gas Malaysia Sdn Bhd (Altus) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperluas rangkaian kerjasama dalam mempromosikan Pelabuhan Kemaman sebagai pelabuhan singgah buat pelantar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts Muhtar Suhaili berkata MoU tersebut dimeterai bagi jalinan kerjasama strategik antara EPIC Marine dan Altus, dengan sasaran untuk meneroka peluang perniagaan dalam segmen pelantar secara lebih jauh.

“Ini termasuklah perkhidmatan penempatan sementara pelantar, penyelenggaraan dan pembaikan pelantar, persiapan projek-projek seterusnya, serta perkhidmatan berkaitan yang lain," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani memorandum berlangsung minggu lalu di premis operasi EPIC Berhad di Teluk Kalong, Kemaman.

Ketika pemeteraian memorandum, EPIC Marine diwakili oleh Pengurus Besar Kanan Pengurusan Pelabuhan dan Perkhidmatan Marin, Ashari Mohammad dan Ketua Syarikat EPIC Marine, Kapten Mohd Kamarul Mamat.

Sementara itu, Altus pula diwakili Pengarah Urusan Kumpulan Altus, Mohamad Taufik Othman dan Ketua Pegawai Operasi, Mohd Nazli Mohd Salim.

Majlis itu disaksikan oleh Ts Muhtar Suhaili, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah, Pengurus Besar Kanan Pangkalan Bekalan dan Sokongan, Syed Abdullah Syed Omar dan Pengurus Besar Operasi Altus, Izudin Ab Ghani.

Dalam pada itu, Muhtar turut menzahirkan ucapan tahniah kepada EPIC Marine atas kerjasama tersebut, sambil menekankan bahawa ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam memenuhi permintaan perkhidmatan pelantar yang semakin meningkat di Pelabuhan Kemaman.

Beliau mengharapkan inisiatif itu dapat memperkasakan pertumbuhan keseluruhan syarikat dan Kumpulan EPIC.

"Menerusi MoU ini, EPIC Marine, bersama syarikat-syarikat lain di bawah Kumpulan EPIC, berhasrat dapat terus menambah baik penawaran dan perkhidmatan di samping menyumbang secara positif kepada pembangunan sosioekonomi Negeri Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Taufik, menekankan komitmen Altus untuk bekerjasama dengan EPIC Marine melalui pelbagai bidang yang berkaitan.

“Kerjasama ini diharapkan dapat memajukan kedua-dua syarikat dalam segmen perniagaan yang diceburi, sekali gus meningkatkan daya saing dan keupayaan operasi mereka," ujarnya.


Tag: