• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

EPIC Berhad Suntik Semangat TSG

KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menerima suntikan sebanyak RM500 ribu daripada Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) sebagai sebahagian tajaan bagi musim 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali memaklumkan, tajaan  itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pasukan bertaraf benua tersebut mengekalkan gelaran nombor satu Asia di kedudukan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“EPIC Berhad berbesar hati dan teruja menjadi sebahagian daripada rekod prestasi cemerlang TSG dalam menakluki pelbagai kejohanan berbasikal di seluruh dunia.

"Kami berharap dapat memanfaatkan peluang promosi sektor pelancongan sukan untuk menarik lebih ramai pelabur berpotensi demi pertumbuhan perniagaan yang lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan, hari ini.

Ridzuan mewakili syarikat hadir ke majlis memperkenalkan barisan pelumba dan penaja baharu selain meraikan kejayaan TSG merangkul gelaran juara Asia serta pasukan benua terbaik dunia 2023 yang diadakan di Permai Hotel, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, EPIC Berhad tidak asing dalam menyokong dan merancakkan pembangunan sukan di Negeri Terengganu.

Syarikat itu sebelum ini turut menganjurkan kejohanan berbasikal “International Golden Monsoon Ride 2023” yang berjaya menarik penyertaan lebih daripada 1,500 peminat sukan basikal termasuklah 30 peserta antarabangsa dari China, Indonesia, Singapura dan Thailand dalam usaha membangunkan industri sukan di Terengganu.

"Selain itu, EPIC Berhad menjadi penaja Terengganu Football Club (TFC), Terengganu Hockey Team (THT) dan Persatuan Ragbi Daerah Kemaman (Kemaman Rugby) serta pelbagai lagi program sukan tempatan," katanya.

 

 


Tag: