• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

EPIC Sumbang RM25 Ribu Suntik Semangat Pasukan Hoki Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Kerajaan Negeri menerusi anak syarikatnya, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menyumbang tajaan sebanyak RM25,000 kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim 2024.

Penaung Pasukan Hoki Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, tajaan tersebut bakal membantu persediaan dan memperkuat lagi para pemain bertepatan dengan liga yang sudah membuka tirai awal Februari lalu.

"Sumbangan tajaan pada tahun ini, ditambah sebanyak RM15 ribu kepada RM25 ribu berbanding tajaan pada tahun 2023 yang berjumlah RM10 ribu.

"Di samping, ia juga merupakan kesinambungan dalam usaha EPIC Berhad untuk merancakkan prestasi dan pembangunan sukan di ngeri Terengganu, sekali gus melahirkan atlet-atlet tempatan bertaraf dunia," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penyerahan Cek Tajaan kepada Pasukan Hockey Team bertempat di Tingkat 5, Pejabat EPIC Kuala Terengganu di sini hari ini.

Sesi penyerahan tajaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Ir Mukhtar Suhaili, kepada Presiden Persatuan Hoki Terengganu Mohd Fikri Harun dengan disaksikan oleh Penaungnya, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Tambah Ir Saiful, pihak syarikat juga optimis dan yakin dengan barisan atlet baharu pasukan THT.

Menurutnya, sebagaimana pencapaian cemerlang THT merangkul kejuaraan tiga piala musim lalu.

"Cabaran besar untuk musim 2024 adalah untuk mengekalkan kembali ketiga-tiga kejuaraan tersebut apabila sebahagian pemain kita telah masuk ke pasukan lawan.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada EPIC Berhad atas sokongan yang diberikan kepada pasukan THT bagi merealisasikan misi memburu kejuaraan musim ini,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: