• 30 Nov 2020 | 14 Rabiul Akhir 1442

EPIC Terengganu Anjur Cakna Dan Prihatin 2020 Siri 2

KEMAMAN, 27 Ogos - Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan penganjuran Program EPIC Cakna dan Prihatin 2020 Siri 2, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Saabi Wahab berkata, program ini telah dijalankan sejak tahun 2019. Program ini adalah salah satu dari kepelbagaian program di bawah CSR EPIC.

"Kami akan cuba untuk menjadikan program ini sebagai salah satu program CSR tahunan syarikat kami bagi membantu untuk meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan," ujarnya.

Katanya lagi, program pada kali ini adalah salah satu inisiatif Tanggungjawab Korporat EPIC dan mendapat kerjasama dengan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd dan Syarikat Air Terengganu (SATU) untuk membantu 30 keluarga miskin dan kurang berkemampuan di kawasan Kemaman.

"Program di DUN Cukai hari ini juga merupakan siri kedua selepas siri pertama telah diadakan di DUN Bandar, Kuala Terengganu pada Julai lalu. Selepas ini, program ini akan diteruskan di daerah Besut dan Hulu Terengganu".

Program hari ini menyaksikan semua mereka yang terlibat, telah menghantar sumbangan wang tunai dan barang keperluan ke rumah 10 orang penerima di Kg Besut 2. Manakala 20 orang lagi menerima sumbangan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Turut bersama memeriahkan majlis, Pegawai Daerah Kemaman, Tuan Haji Mohamad A. Rahman @ Othman, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) DUN Cukai, Dr Megat Suhaimi Megat Idrus, Pengurus Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd Cawangan Kijal, Rohaya Idris, wakil daripada SATU serta Ahli Pengurusan Kanan Kumpulan EPIC.

Epic Berhad merupakan sebuah syarikat kerajaan negeri Terengganu yang menjalankan perkhidmatan sokongan utama kepada industri minyak dan gas, pelabuhan, tenaga serta perkhidmatan sampingan yang lain.


Tag: