KUALA TERENGGANU, 14 Ogos — Pelaksanaan sistem e-Tanah di Terengganu sejak September 2024 berjaya mempercepatkan dan memudahkan pelbagai urusan berkaitan tanah secara digital, sekali gus meningkatkan ketelusan perkhidmatan.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan negeri memperkasa urus tadbir tanah menerusi pendekatan moden dan mesra rakyat.
“e-Tanah bukan sekadar sistem digital, tetapi penyelesaian menyeluruh yang menyatukan semua proses berkaitan tanah di bawah satu platform bersepadu. Ia membolehkan orang ramai melakukan pelbagai urusan tanpa perlu hadir ke pejabat tanah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan sistem itu adalah hasil kerjasama awam-swasta antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Terengganu dan Puncak Tegap Sdn Bhd menerusi model perniagaan Build, Maintain and Transfer (BMT), dengan syarikat berkenaan menanggung sepenuhnya kos pembangunan dan penyelenggaraan selama 14 tahun.
Katanya, penggunaan e-Tanah memberi kesan positif kepada hasil negeri dengan kutipan meningkat 13 peratus kepada RM76 juta setakat 31 Mei lalu berbanding RM68 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Kerajaan negeri menyasarkan 20,000 pengguna berdaftar menjelang akhir tahun ini melalui sembilan modul utama termasuk e-Carian, Permohonan Dalam Talian, e-Semakan dan Bayaran Cukai Tanah yang boleh diakses menerusi Portal Awam e-Tanah.
Selain itu, katanya, kempen “Jom Bayar Cashless Pejabat Tanah 2025” dilaksanakan sehingga 31 Julai 2025 bagi menggalakkan pembayaran cukai tanah secara dalam talian menggunakan saluran seperti FPX, TPay, JomPAY dan kad kredit, dengan cabutan bertuah bernilai RM240,000 ditawarkan.
Tun Ahmad Faisal berkata, sistem itu dilengkapi ciri keselamatan digital bagi melindungi data peribadi pengguna, menjadikan Terengganu negeri keempat melaksanakan e-Tanah selepas negeri lain.