SETIU, 11 Jun – Terengganu sedia memacu langkah menjadi antara hab pengeluaran makanan utama negara setelah mewartakan kawasan seluas lebih 4,000 hektar tanah di seluruh negeri khusus untuk sektor pertanian dan penternakan.
Inisiatif strategik itu dilaksanakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, sekali gus membuka rantaian peluang pelaburan yang luas merangkumi pelbagai kluster industri agro-makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, pembukaan kawasan berkenaan dijangka mampu merancakkan ekonomi hiliran agro-makanan, selain memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
Menurut beliau, kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan daripada semua peringkat pelabur, termasuk Pelaburan Langsung Asing (FDI), pelabur domestik, mahupun pengusaha tempatan.
"Kita membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat Terengganu, pelabur tempatan dalam negara atau FDI untuk membangunkan apa sahaja projek yang berkaitan dengan aktiviti pengeluaran makanan berasaskan penternakan.
"Sama ada mahu membuka ladang lembu, kerbau, kambing, ladang tenusu, ladang rusa, ladang ternakan unggas seperti ayam penelur, kilang makanan ternakan, mahupun tanaman rumput napier atau apa sahaja yang ada kaitan dalam rantaian pengeluaran ini, kita amat alu-alukan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di laman media sosial rasmi beliau, semalam.
Bagaimanapun, Dr. Azman memberi peringatan tegas bahawa kelonggaran dan galakan pelaburan yang diberikan ini tidak bermakna pihak pentadbiran negeri akan menutup mata terhadap aspek pemantauan dan penguatkuasaan.
Beliau mendedahkan, pihaknya memandang serius isu penyelewengan status guna tanah termasuklah tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang memohon tanah atas tiket pertanian makanan tetapi menukarnya kepada tanaman komoditi lain demi keuntungan peribadi.
Sebelum ini katanya, terdapat kes yang terpaksa diambil tindakan tegas terhadap penyewa tanah milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dikesan melanggar syarat kelulusan.
"Kes yang biasa berlaku, minta tanah nak buat padang ragut tetapi bila diluluskan jadi kebun sawit. Kita perlu bertegas dalam hal penyelewengan sebegini.
"Sudah ada kes penyewa tanah Veterinar yang mohon nak tanam napier bagi pengeluaran makanan ternakan tetapi akhirnya tanam sawit. Saya tahu beza antara pokok napier dan sawit. Maka kita arahkan supaya cabut balik sawit yang ditanam dan kelulusan dibatalkan serta-merta," tegas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Azman turut menangkis dakwaan atau persepsi negatif luar yang mendakwa kerajaan negeri cuba meminggirkan golongan usahawan tempatan demi memberi laluan karpet merah kepada pelabur luar yang bermodal besar.
Tegas beliau, dasar yang dipraktikkan oleh kerajaan negeri ketika ini adalah bersifat inklusif serta mengutamakan merit dan kesungguhan usahawan demi memastikan tanah yang diperuntukkan benar-benar menghasilkan impak kepada industri.
"Tak timbul isu Kerajaan Negeri utamakan pelabur luar dengan mengenepikan anak Terengganu kerana hakikatnya kita raikan semua.
"Sudah ramai dalam kalangan mereka (anak tempatan) yang berjaya dan peluang sentiasa dibuka untuk menyambut anak-anak Terengganu yang mempunyai minda untuk berjaya," ujarnya.
Tag :