• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Exco, 500 Sukarelawan Bersih Rumah Mangsa Banjir

DUNGUN, 28 Januari – Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat bersama lebih 500 peserta Ops Pasca Banjir membanting tulang membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta beberapa rumah mangsa banjir di Kampung Shukor, Dungun di sini.

Hanafiah Mat yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata, sukarelawan terdiri daripada agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), KHIDMAT Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia (JAM).

Katanya, operasi pada jam 8 pagi itu bermula dengan membersihkan masjid dua tingkat di kampung berkenaan.

"Keadaan di masjid agak teruk dengan beberapa peralatan dan karpet masjid yang tidak dapat digunakan lagi sehingga terpaksa dibuang.

“Seterusnya, operasi pembersihan dijalankan ke balai raya, sekolah serta lima buah rumah yang terjejas banjir sehingga selesai,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Ops Pasca Banjir ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bertempat di rumah mangsa banjir hari ini.

Tambah Hanafiah, sebahagian penduduk kampung memberitahu bahawa gelombang banjir keempat ini lebih besar berbanding tahun 2014.

Tambahnya lagi katanya, sejak 60 tahun tidak berlaku banjir seteruk ini di Kampung Shukor dengan lumpur selebar dua kaki bahkan di masjid yang dibersihkan tadi lumpur setinggi dua kaki lebih atas karpet.

Untuk rekod, Dungun merupakan daerah yang masih terjejas banjir dengan merekodkan bilangan mangsa seramai 955 orang daripada 281 keluarga yang ditempatkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

 


Tag: