SHAH ALAM, 12 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk terus menimba ilmu.
Lebih istimewa, beliau bergraduasi bersama dua orang anaknya, Mohd Alinur Haqqim, 36 dan Nur Aisyah Hanim, 34, yang turut menerima ijazah dalam bidang yang sama pada Majlis Konvokesyen ke-101 UiTM semalam.
Razali, 59, berkata beliau memulakan pengajian MBA pada tahun 2021 ketika masih memegang jawatan sebagai Senator di Dewan Negara.
“Walaupun ketika itu, jadual saya sangat sibuk dengan pelbagai tugas rasmi, namun dengan izin Allah SWT, saya berjaya tamatkan pengajian ini.
“Saya juga sempat menangguh satu semester untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023, di mana saya bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.
Sebagai Exco Pelancongan dan Wakil Rakyat Kijal, Razali berharap ilmu yang diperoleh dalam bidang pentadbiran perniagaan ini dapat dimanfaatkan untuk memajukan sektor pelancongan dan pembangunan negeri Terengganu secara keseluruhan.
“Saya berharap ilmu yang saya peroleh dapat digunakan untuk membantu menguruskan negeri dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap golongan muda agar tidak berputus asa mengejar ilmu walaupun mungkin menghadapi cabaran di awal perjalanan mereka,” ujarnya.
Menurutnya, kegagalan awal tidak bermakna gagal selama-lamanya. Teruskan berusaha.