• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Family Day PERANTAU Pupuk Cinta Pada Terengganu

Anak-anak perantau di Melaka bergambar bersama Wan Sukairi.
Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Program yang dilaksanakan di kalangan ahli Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) bukan sahaja mengeratkan ukhuwah sesama mereka, tetapi perasaan cinta kepada negeri asal iaitu Terengganu sentiasa dibugarkan apabila dapat berkumpul bersama.

Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berharap, melalui penganjuran program-program yang diadakan secara berterusan dapat memberikan manfaat kepada semua anak-anak PERANTAU.

“Program ini merupakan satu aktiviti yang julung kali diadakan bagi mengumpulkan semua anak-anak Terengganu  yang berada di Melaka dalam satu tempat dan satu masa.

Wan Sukairi.
“Ini adalah satu platform untuk kita bertemu mata, berukhuwah, saling mengenali satu sama lain dan bertukar-tukar fikiran dalam suasana kekeluargaan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika hadir meraikan program Hari Keluarga PERANTAU Melaka di Bukit Katil, baru-baru ini.

Beliau juga menyatakan bahawa majlis pertemuan dengan perantau adalah pendekatan terbaik kerajaan negeri untuk bermesra dan mendekati seluruh anak-anak Terengganu yang bekerja di luar.

“PERANTAU adalah tali penghubung antara kita dalam membina Terengganu yang lebih baik melalui penyaluran maklumat, informasi penting dan pusat pengumpulan data anak-anak negeri kepada kerajaan negeri,” katanya.

Turut hadir Pengurus Besar Duyong Marina & Resort, Wan Mohd Faizul Wan Abas.


Pelbagai aktiviti santai turut diadakan untuk mengukuhkan ukhuwah anak-anak negeri.


Tag: