SETIU, 28 Disember - Main atau mandi hujan mungkin merupakan perkara biasa bagi semua orang, namun 10 ekosistem yang terdapat di Setiu menawarkan makna berbeza kepada aktiviti tersebut.
Festival Main Hujang Sesohor Setiu, satu aktiviti yang diangkat daripada program Pesta Main Hujang kini menjanjikan pengalaman baru bagi pengunjung yang datang khusus pada musim tengkujuh ke Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris memaklumkan, bermula tahun hadapan festival itu akan dilangsungkan dari bulan Oktober sehingga Januari dengan memberikan pengalaman berbeza dalam setiap keunikan ekosistem di wilayah Setiu Wetland.
"Sebenarnya, di Setiu ini memang banyak tempat untuk kita uar-uarkan yang boleh dipasarkan, fokus kepada musim monsun timur laut (MTL) antaranya Lata Ulu Kasar dan Lata Ulu Kekabu.
"Sebelum ini, saya melihat program ini tidak establish lagi, peserta pada ketika itu dalam 10-15 orang terlibat. Kali ini ada kelainan dan pertambahan (peserta) yang mana ia melibatkan MOTAC dan Tourism Malaysia sekali.
"Lebih banyak aktiviti kerana selain kutip lokan, ada kutip kepah. Selepas itu, di salah satu kampung ada Terengganu Informastion Centre (TIC) yang dibuat secara tradisional yang turut dibuat pakej urutan patuh syariah untuk wanita dan lelaki.
"Saya ingin kita lebar luaskan masa penganjuran program Main Hujang. Insya-Allah pada tahun 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia, kita jenamakan semula sebagai Main Hujang Festival Sesohor Setiu bermula dari bulan Oktober sehingga bulan Januari.
"Kita buat 'rally' macam festival candat sotong di Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Pesta Main Hujang di Desa Pancaran Delima, di sini hari ini.
Beliau berharap pembaharuan itu dapat dimanfaatkan dengan mengembangkan ekosistem unik di sana dalam memberikan pengalaman baru kepada pengunjung.
"Persepsi orang tidak boleh datang ke Terengganu kerana musim tengkujuh. Sebenarnya, sebelah laut (aktiviti di laut) memang kita tidak benarkan tetapi, di Setiu ada macam-macam tawaran lagi yang membolehkan pengunjung 'berpesta' di daratan dan mendapat pengalaman baru.
"Mandi hujan di Setiu ini tidak gatal kerana tiada kawasan industri yang besar dan lebih segar," ceritanya lagi.
Pesta Maing Hujang yang masuk kali ketiga penganjurannya menyajikan pelbagai aktiviti menarik, dengan acara utamanya ialah aktiviti mencari lokan dan kepah.
Aktiviti tersebut memberikan pengalaman baru disamping memperkenalkan budaya dan gaya hidup tempatan kepada pengunjung.

