lightning-solid
Berita :
Festival Setiu Wetlands Perkukuh Kerjasama Pelihara Khazanah Alam
Festival Setiu Wetlands Perkukuh Kerjasama Pelihara Khazanah Alam
Adli Mohamad
5 jam yang lepas
28

SETIU, 22 Ogos – Festival Setiu Wetlands yang kini memasuki tahun ketujuh penganjurannya menjadi bukti bahawa kerjasama antara kerajaan negeri, komuniti setempat dan pelbagai pihak mampu membentuk gerakan lebih besar dalam memelihara khazanah alam Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, komuniti setempat bukan sekadar penerima manfaat, sebaliknya merupakan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menurutnya, kesedaran masyarakat untuk melindungi khazanah alam akan menjadi lebih kuat apabila mereka memahami nilai sebenar biodiversiti yang terdapat di kawasan sekitar.

“Atas sebab itu, Festival Setiu Wetlands perlu terus menjadi ruang yang menghimpunkan komuniti setempat, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, golongan akademik, penggiat pelancongan, pelajar dan generasi muda.

“Kita mahu festival ini bukan sekadar sebuah acara tahunan, tetapi menjadi platform pendidikan, kesedaran, penglibatan dan tindakan bersama dalam memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Setiu Wetlands di Boardwalk, Taman Negeri Setiu Wetlands, Kampung Pengkalan Atap, di sini, semalam.

Mohd Azmi berkata, peranan komuniti setempat amat penting kerana mereka merupakan kelompok yang paling hampir dengan kawasan berkenaan dan menjadi antara pihak utama yang menjaga kelestariannya.

Bagaimanapun katanya, tanggungjawab memelihara Setiu Wetlands tidak boleh dipikul oleh komuniti semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh daripada semua pihak.

“Sektor swasta, NGO, institusi pendidikan dan masyarakat umum juga mempunyai peranan masing-masing.

“Jika kesemua pihak ini bergerak dalam satu arah dan matlamat yang sama, insya-Allah kita mampu memastikan khazanah biodiversiti ini terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Festival Setiu Wetlands mula dianjurkan pada 2018 dan terus menjadi antara platform utama dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta biodiversiti di kawasan berkenaan.



Tag :

Artikel Berkaitan