• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Festival Setiu Wetlands Tingkat Kesedaran Orang Awam

SETIU, 5 Ogos - Penganjuran festival Setiu Wetlands mampu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan alam sekitar selain menjana ekonomi mereka.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keterlibatan komuniti berupaya memupuk sifat kebersamaan untuk menjaga alam sekitar sekali gus merancakkan usaha kerajaan memulihara ekosistem.

"Saya percaya langkah berterusan yang diambil oleh Jabatan Pelancongan negeri bersama dengan Majlis Pengurusan Taman negeri adalah berterusan dengan melibatkan semua pihak yang berhasrat ingin membawa produk pelancongan seperti Setiu Wetlands ini bukan sahaja ke peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa.

"Kita akan terus pertingkatkan program seperti hari ini dengan melibatkan penyertaan daripada komuniti dengan lebih hebat lagi,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Setiu Wetlands 2022,bertempat di Boardwalk Taman Negeri Setiu Wetlands, Kampung Pengkalan Gelap Setiu pada Jumaat.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman negeri, Tengku Mohd Arifin Tengku A.Rahman.

Festival yang dianjurkan itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan berakhir pada Ahad ini tellah menyediakan 24 aktiviti dan program melibatkan komuniti dan pengunjung serta memberika ruang kepada agensi untuk mempamerkan peranan mereka.

Bertemakan 'Seiring Alam & Komuniti' , Dr Ahmad Samsuri mengharapkan agar kesedaran rakyat akan dapat dipertingkatkan bagi menjaga khazanah alam semulajadi yang terdapat di Setiu Wetlands itu.

"Sebagaimana kita sedia maklum bahawa di sini memliki flora dan fauna dengan keunikan 10 ekosistem," ujarnya.


Tag: