• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Floria Diraja Putrajaya 2022 : Terengganu Raih Tempat Kedua

PUTRAJAYA, 31 Ogos - Kerajaan negeri Terengganu berjaya merangkul tempat kedua iaitu Garden Award (Silver) bagi Kategori Taman Agensi Kerajaan dan Korporat dalam Festival Bunga Dan Taman Diraja Putrajaya 2022.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli dalam program berkenaan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata semenjak penganjuran festival ini diperkenalkan, kerajaan negeri telah menyertai festival ini sebanyak empat kali iaitu pada kali terakhir tahun 2019 dan berjaya meraih tempat ketiga bagi anugerah Royal Garden Award (Bronze) pada tahun tersebut.

“konsep yang diketengahkan pada tahun ini adalah Alam Desa Terengganu, iaitu memfokuskan aspek warisan kebudayaan, sosial, ekonomi dan cara hidup masyarakat tempatan dengan menyelitkan beberapa program dan aktiviti.

“Antaranya ialah persembahan tarian kebudayaan Wau Bulan, Ulek Mayang, tarian Sok Sek dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis perasmian Festival Bunga Dan Taman Diraja Putrajaya 2022 bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya baru-baru ini.

Katanya, program ini berlangsung selama seminggu iaitu bermula 29 Ogos sehingga 4 September 2022.

Sementara itu, satu tarikan utama adalah replika Wau Bulan bersaiz gergasi sebagai latar langit secara langsung menaungi tapak pameran yang menggambarkan Terengganu sememangnya negeri yang kaya dengan warisan budaya dan masih diamalkan oleh masyarakat tempatan.

“Wau Bulan tersebut dibaluti dengan kain batik yang bermotifkan geometri alam semulajadi yang terdiri dari motif tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan seperti Bunga Raya, Tanjung dan sebagainya.

"Untuk makluman, festival ini juga turut mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan di bawah Kerajaan negeri antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu," katanya.

 


Tag: