Fokus Lahirkan Bakat Muda Dalam Seni Silat
MARANG, 27 Ogos - Pertubuhan Seni Silat Gayong Jati Malaysia (PSSGJM) Gelanggang Awam Marang yakin mampu melahirkan bakat-bakat muda dalam seni silat sekali gus mengekalkan tradisi warisan itu.
Pengerusinya, Cikgu Suhadi Mohd berkata majlis Ujian Kenaikan Bengkung yang diadakan baru-baru telah memperlihatkan komitmen yang tinggi daripada orang muda.
Katanya, program melibatkan 86 orang (79 Bengkung Pra Putih Cula 1, 7 Bengkung Hijau) daripada Gayong Jati Marang dan 15 orang daripada Gayong Jati Kuala Nerus itu disifatkan sangat berjaya.
“Peserta yang diberi kenaikan bengkung inilah yang akan menggantikan kami di masa depan, mereka ini bakat baru yang juga bakal menggembangkan lagi seni silat gayong,” katanya.
Sementara itu, Ketua Waris Lembaga Adat PSSGJM, Mohd Zakaria Muda berkata, hasil yang dikecapi pertubuhan selama melatih peserta terbabit cukup membanggakan.
Ujar beliau, silat bukan sahaja digunakan sebagai satu seni untuk mempertahankan diri tetapi juga dijadikan sebagai satu aktiviti untuk meningkatkan jati diri terutamanya bagi anak muda.
“Saya berharap anak muda akan diberi pendedahan lebih lagi berkaitan silat dan akan diperluaskan lagi agar warisan kita dapat terus terpelihara
“Usaha ini harus diteruskan untuk generasi akan datang, penganjuran program seperti ini membuktikan seni silat tidak akan mati bahkan sentiasa ada pelapis baru.
“Kita mengharapkan seni silat akan terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.