• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gajah 'Penceroboh' Ditangkap

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober- Seekor gajah betina daripada sekumpulan 15 ekor gajah yang menceroboh masuk ke kawasan kediaman penduduk Kampung Basung, Hulu Terengganu berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu semalam.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, dua ekor gajah denak digunakan bagi menjinakkan gajah betina itu.

Katanya, penduduk kampung berkenaan memaklumkan, gangguan sekumpulan gajah liar tersebut telah merosakkan tanaman serta memasuki kawasan penempatan mereka.

Tambah beliau, pejabat Menteri Besar turut membuat aduan Khamis lalu berkenaan gangguan gajah liar itu, dan bertindak atas aduan berkenaan pasukan petugas telah turun dan berjaya menangkap seekor gajah betina semalam.

“Terdapat kira-kira 15 ekor gajah liar yang merayau di Kampug Basung, justeru bagi meredakan kebimbangan penduduk, pasukan Perhilitan sentiasa memantau dan ada membuat tembakan menghalau gajah tersebut.

“Dengan tangkapan gajah betina tersebut, diharap gajah-gajah lain akan beredar daripada kawasan ini,” ujarnya.
 


Tag: