• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Galak Wanita Ceburi Bidang Sains, Kejuruteraan

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kaum wanita digalakkan untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih aktif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata peratus keterlibatan wanita dalam bidang tersebut jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kaum lelaki. 

Menurut beliau, data daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendedahkan lebih 70 peratus penyelidik dalam STEM adalah lelaki manakala wanita pula kurang 30 peratus.

"Begitu juga di peringkat pengajian tinggi, direkodkan hanya 30 peratus pelajar perempuan memilih untuk menceburkan diri dalam bidang STEM.

"Saya mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan kewujudan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan merangka program yang bersesuaian, yang mana kumpulan fokusnya adalah wanita dengan mengambil model daripada MOSTI untuk turut diaplikasi di PSKT.

"Suka saya mencadangkan satu insentif khas diberikan buat wanita Terengganu yang menceburi bidang ini," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, sebentar tadi.

Zuraida menegaskan bahawa perlunya wujud usaha untuk menarik wanita bagi menceburi bidang STEM.

"Saya teguh dengan pendirian sepertimana yang telah dilontarkan dalam sidang yang lalu, mereka ini wajar mendapat galakan serta diberi bimbangan sebagai pemangkin untuk menceburi bidang ini," ulasnya lagi.