Jalur Gemilang
Berita :
Garden Bay City RM800 Juta di Kerteh Pacu Ekonomi, Sedia 235 Rumah Mampu Milik
Garden Bay City RM800 Juta di Kerteh Pacu Ekonomi, Sedia 235 Rumah Mampu Milik
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
89

KEMAMAN, 27 Oktober - Pembangunan mega Garden Bay City dan The Walk di Kerteh menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pembangunan bercampur bernilai RM800 juta yang menggabungkan kediaman, perniagaan dan kemudahan komuniti.

Projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 44 ekar milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) itu turut menyediakan 235 unit Rumah Mampu Milik (RMM), sekali gus membuka peluang kepada keluarga muda dan golongan berpendapatan rendah serta sederhana memiliki kediaman sendiri di kawasan strategik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek berkenaan merupakan antara usaha mengoptimumkan aset milik kerajaan negeri melalui kerjasama strategik dengan pihak swasta bagi menjana pulangan yang dapat dimanfaatkan untuk kebajikan dan pembangunan rakyat.

Menurutnya, pembangunan itu bukan sekadar projek komersial, sebaliknya dirancang sebagai pembangunan bersepadu yang merangkumi kediaman, kemudahan perubatan swasta, surau, dewan komuniti serta hab perniagaan moden.

“Signifikannya ada dua perkara utama. Pertama, kita mengoptimumkan aset tanah milik LTAWNT seluas 44 ekar melalui kerjasama strategik pihak swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM800 juta.

“Sebahagian hasil daripada pembangunan ini akan dipulangkan semula untuk kebajikan dan pembangunan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bercampur Garden Bay (East Coast City)Di Mukim Kerteh, Kemaman di Grand Tapis Ballroom, Kelab Golf & Rekreasi PETRONAS (KGRP) di sini hari ini.

Menurutnya, projek itu turut memberi penekanan kepada keperluan perumahan rakyat apabila 235 unit RMM Jenis A dan B diwajibkan dalam pelan pembangunan berkenaan.
"Harga rumah mampu milik itu ditawarkan bermula RM90,000 hingga RM185,000, manakala rumah komersial berharga antara RM550,000 hingga RM1.5 juta," ujar beliau lagi.

Katanya, penyediaan rumah mampu milik amat penting memandangkan Kerteh merupakan kawasan perindustrian yang menempatkan ribuan pekerja, termasuk golongan profesional dalam sektor minyak dan gas.

“Kita mahu keluarga muda serta pekerja berpendapatan rendah dan sederhana mempunyai peluang memiliki rumah sendiri di lokasi strategik, bukannya terpaksa tinggal jauh dari tempat kerja atau dipinggirkan ke kawasan pedalaman,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan The Walk dan Nusa Walk Lifestyle Hub dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi penyediaan ruang perniagaan moden yang berpotensi menarik kemasukan jenama besar serta membuka peluang kepada usahawan tempatan.

Menurutnya, limpahan ekonomi projek itu dapat dirasai sejak fasa pembinaan yang dijadualkan berlangsung selama lapan tahun bermula 2026, termasuk melalui permintaan terhadap perkhidmatan kontraktor kecil, pembekal tempatan, sektor logistik dan premis makanan.

"Apabila beroperasi kelak, pembangunan itu dijangka membuka ratusan peluang pekerjaan baharu, khususnya kepada golongan muda, selain menyediakan ruang kepada usahawan tempatan mengembangkan perniagaan dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman serta perkhidmatan," ujar beliau.

Mengenai pelaksanaan projek, Wan Sukairi berkata, pembangunan itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan pemantauan berterusan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), agensi teknikal negeri dan LTAWNT bagi memastikan kemajuan kerja mematuhi jadual serta standard kualiti ditetapkan.

Katanya, penglibatan LTAWNT dalam pemantauan tadbir urus dan pematuhan jadual kerja, bersama rekod prestasi pemaju, Ting Mee Land Sdn. Bhd., merupakan antara aspek yang diberi perhatian bagi memastikan hak pembeli terus dilindungi.

Selain pembangunan fizikal dan ekonomi, beliau berkata, aspek kelestarian alam sekitar turut diambil kira melalui penyediaan kawasan hijau terbuka, taman rekreasi serta sistem perparitan moden dan loji rawatan kumbahan terancang.

“Pembangunan ini perlu memberikan nilai tambah kepada kehidupan masyarakat, bukan sekadar menyediakan bangunan dan premis perniagaan.

“Kita mahu kemudahan yang dibangunkan dapat dinikmati penduduk setempat dalam persekitaran yang selesa, bersih dan selamat,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan