• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

'Gateh' Basikal Mampu Kukuh Hubungan Antara Komuniti - MB Terengganu

Kayuhan bermula dari Dataran Pantai Batu Buruk.
KUALA TERENGGANU, 31 Disember - Aktiviti mengayuh atau lebih dikenali sebagai ‘gateh’ basikal boleh dilaksanakan di peringkat komuniti kerana ia mampu mengukuhkan hubungan masyarakat dalam komuniti.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, banyak manfaat yang boleh dicapai dalam aktiviti berbasikal dan menjadi senaman yang baik untuk diri.

“Saya sangat bangga dengan rakyat Terengganu kerana memiliki kesedaran tinggi tentang aktiviti ini berbanding di negeri-negeri lain.

“Aktiviti  ‘gateh’ basikal memperlihatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan orang awam turut sama hari ini bersantai mengayuh basikal. Ianya menjadi kunci kepada keharmonian dan memperlihatkan suasana tenang di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut di Wisma Darul Iman, hari ini.

Program Gateh Basikal Bersama Menteri Besar sempena ambang tahun baharu 2019 itu dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan disertai lebih 250 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan orang awam.
Dr. Samsuri sempat beramah mesra bersama pesakit di HSNZ.
Paling menarik, program ini turut disertai exco-exco kerajaan negeri, pemain-pemain daripada pasukan Terengganu Football Club (TFC), atlet berbasikal Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu dan para pelumba Terengganu Cycling Team (TSG).


Dalam program kayuhan sejauh lebih kurang 10 kilometer (km) tersebut, Dr. Samsuri turut melawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Pasar Payang.


Dr. Samsuri juga memaklumkan bahawa progam Hari Tanpa Kenderaan yang telah diperkenalkan kerajaan terdahulu akan diteruskan untuk masa akan datang.

“Bagaimanapun, kita akan merangka semula jadual yang sesuai untuk 2019 supaya penyertaan orang awam dapat ditingkatkan.

“Waktu akhir tahun ini, kita berdepan cuaca hujan dan sebagainya. Jadi, kita akan akan tengok waktu yang terbaik untuk meneruskan inisiatif ini dan mungkin ia akan dilancarkan semula,” katanya.
Pemain TFC turut gateh basikal bersama MB.



Tag: