Gejala Sosial Kalangan Belia Perlu Tindakan Serius
KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Negeri terus komited membendung gejala sosial dalam kalangan anak muda dengan cara menangani masalah secara menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, agenda dibuat dengan melaksanakan pelbagai program intervensi secara strategik dan tersusun, melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kebajikan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Beberapa program untuk membendung masalah sosial di kalangan muda-mudi di Terengganu seperti Program Super Syabab, Program Ingatlah Sayang, Program Keluarga Jannah, Program Taklif, dan Program Anugerah Terindah Keluarga Bahagia.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu juga mengambil pelbagai langkah dan usaha memulihkan jati diri serta keperibadian mereka melalui program sama ada di dalam institusi atau programpemulihan serta pencegahan di peringkat komuniti antaranya ialah program pemulihan di institusi, program pencegahan di peringkat komuniti dan pelaksanaan hukuman perintah khidmat masyarakat," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Justeru itu, Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai program pemulihan dan pembangunan bakat bagi memastikan golongan belia di Terengganu menjadi pewaris yang cemerlang, selaras dengan visi untuk menjadikan anak Terengganu sebagai aset terunggul negara.