• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Gelanggang Bowling Padang Gong Badak Bertaraf Dunia

Dato' A Rahman (kanan) bertanyakan sesuatu kepada peserta Terengganu. -Foto Harish Fadzillah. 


KUALA TERENGGANU - Gelanggang Bowling Padang Gong Badak di sini yang bernilai RM6.5 juta menempa sejarah apabila julung-julung kali mengadakan kejohanan bertaraf dunia dengan penyertaan 11 buah negara bermula 25 hingga 28 Ogos.

Kejohanan Pasukan Campuran Bowling Padang Asia 'Beautiful Terengganu Malaysia' Tahun 2018 merupakan kejohanan pertama diadakan di situ dan berlangsung di dua gelanggang berasingan masing-masing berkeluasan 40 meter persegi.
Presiden Persatuan Bowling Padang Malaysia Dato' Wan Nawawi Wan Ismail berkata, ia satu pengiktirafan dunia yang diberikan oleh Persatuan Bowling Padang Antarabangsa kepada gelanggang tersebut yang merupakan perlawanan pertama selepas ia siap dibina baru-baru ini.
 
Korea Selatan turut serta dalam Kejohanan tersebut.

Katanya, negara yang menghantar peserta ialah Singapura, Sri Lanka, Thailand, Brunei Darul Salam, China, Macau, Korea Selatan, Pakistan, Filipina, Hongkong dan Malaysia. Seramai 110 atlet menyertai kejohanan tersebut.

"Pasukan Terengganu turut serta dalam kejohanan tersebut sebagai tuan rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kejohanan tersebut 26 Ogos. Kejohanan itu dirasmikan Setiuasaha Kerajaan Terengganu Dato' A Rahman Yahya.


Dato' A Rahman (tengah) mencuba permainan bowling padang di Gelanggang Gong Badak Kuala Terengganu disaksikan oleh Dato' Haji Wan Nawawi (kiri).

Dato' Wan Nawawi berkata, antara tujuan kejohanan itu diadakan ialah untuk memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan menarik asia kepada para peserta.

Mereka akan dibawa berkunjung ke Tasik Kenyir Hulu Terengganu yang berupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara.

Antara peserta beraksi dalam kejohanan tersebut.

"Jika ada kesempatan mereka akan dapat berkunjung ke Santuari Kelah di Tasik Kenyir untuk merasai kejinakan ikan sungai termasuk ikan kelah di tempat tersebut," ujarnya.

Beliau juga memperkenalkan tempat-tempat menarik yang patut atlet sukan berkenaan melawat termasuk Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah.

Di sekitar pulau berkenaan, terdapat hidupan laut termasuk terumbu karang antara kehidupan laut tercantik di dunia.


Tag: