• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Gelombang Street Siasah ‘Badai’ Anak Muda

Foto : Media Ameerah kawasan-kawasan

KUALA TERENGGANU, 23 September – Program Street Siasah yang berkonsepkan respon balas responden, diadakan secara serentak di kesemua lapan kawasan dalam Negeri Terengganu dengan memberi fokus kepada golongan muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, program itu dirancang bagi memperkasakan anak-anak muda, agar cakna isu semasa dan juga politik.

Menurut beliau lagi, objektif utama penganjurannya adalah untuk melihat sejauh mana anak muda cakna kepada isu semasa dan juga politik tanah air.

Menemu ramah responden.

"Antara objektif lain ’Street Siasah’ ialah untuk membuka mata, mengukur tahap kecaknaan dan kesedaran golongan muda terhadap isu semasa dan politik yang berkisar dalam negara kita.

"Kita sedar, bukan semua anak muda faham dan ambil berat tentang isu semasa dan politik. Jadi, kita ambil peranan untuk menerangkan kepada mereka tentang perlu dan pentingnya kefahaman politik terutamanya kepada Melayu-Islam," ujarnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia berpuas hati dengan sambutan yang diterima daripada golongan muda dalam penganjuran program kali ini.

‘Street Siasah’ ialah satu program yang berkonsepkan temubual responden yang dipilih secara rawak dalam kalangan anak muda bagi mendapatkan respon mereka berkenaan Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Perikatan Nasional.

Walau bagaimanapun, Zuraida meluahkan rasa duka cita apabila masih terdapat sebilangan anak muda yang langsung tidak mengambil tahu perihal perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka.

Tambahnya lagi, hal tersebut merupakan petanda bahawa usaha untuk mendekati golongan remaja yang tidak celik politik perlu dilipat-gandakan dan dijalankan dengan lebih proaktif.