• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Geng Sarong Mayang UniSZA Laksana Tugas Murni



Geng Sarong Mayang sedang melipat telekung untuk kegunaan jemaah surau UniSZA

Masalah telekung sembahyang dan sejadah berbau tidak lagi menjadi masalah di surau-surau di dalam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) apabila tugas membersihkan kemudahan untuk orang ramai itu kini diambil oleh `Geng Sarong Mayang’.

Usaha murni yang dilakukan sekumpulan 23 penuntut Ijazah Sarjana Muda (Antropologi dan Dakwah) itu bertujuan menyelesaikan masalah membabitkan kebersihan kain telekung solat, di samping memberi kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa mementingkan kebersihan.

Menggunakan tanda pagar 'dok bau doh', Geng Sarong Mayang itu turut menerima tajaan sebanyak 100 pasang telekung solat untuk diletakkan di surau-surau di universiti berkenaan.

Pengarah Projek, Izzat Imran Wahid berkata, kesemua 100 telekung yang diterima itu turut dijahit dengan label 'Sarong Mayang' bagi memudahkan sukarelawan menukar setiap telekung yang berbau atau kotor.

"Kita sedia maklum bahawa masalah kain telekung berbau dan kotor sering dihadapi golongan wanita apabila ingin menggunakan kemudahan yang disediakan di surau-surau atau masjid itu.
"Malah, ada juga telekung solat yang digunakan meninggalkan kesan solekan dan bintik hitam kerana basah serta tidak digantung.

"Jadi, kami mengambil inisiatif ini untuk mengajar dan mendidik masyarakat agar lebih peka dengan keadaan pakaian solat sebelum beribadah selain menerapkan sikap bertanggungjawab dalam menjaga barang wakaf yang diberikan,"katanya.

Jelasnya lagi, bagi menggalakkan orang ramai turut terlibat dengan kegiatan amal, kumpulan itu turut menyediakan bakul di dalam surau pada setiap hujung minggu untuk mana-mana pihak turut serta menyumbang tenaga dan pahala bagi membasuh dan meletakkan kembali telekung bersih di setiap surau di dalam UniSZA.

"Pihak kami berharap projek sukarelawan ini diteruskan dan disambut baik oleh semua mahasiswa, disamping dapat memupuk budaya lebih prihatin dan cakna terhadap keadaan sekeliling”, katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawan yang ditemui Muhammad Wan Faizal Che Juhari berkata, langkah memperkenalkan program sedemikian bertepatan memandangkan masalah telekung solat berbau dan kotor sering dihadapi ramai pihak. 

"Alhamdulillah, pensyarah dan kakitangan UniSZA turut menyokong usaha yang dilakukan ini bagi membantu memberi pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat tentang kebersihan sebelum solat dan budaya wakaf.

"Pihak kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu memberi sumbangan dalam bentuk atau  kewangan dalam memastikan projek ini dapat diteruskan,"katanya.


Tag: