• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Gerobok Rezeki' Bantu Penduduk Terjejas

SETIU, 11 Jun - Menyedari ramai individu yang terkesan ketika pandemik COVID-19, pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit mengambil inisiatif melancarkan Projek Gerobok Rezeki.

Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, idea untuk memperkenalkan projek itu tercetus apabila ramai penduduk di Batu Rakit mahu memberikan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan.

"Antara barangan keperluan harian disediakan termasuk beras, minyak masak, tepung gandum, gula, bihun, serbuk tea, biskut serta susu pekat dan lain-lain lagi.

"Gerobok Rezeki yang diletakkan di luar bangunan surau-surau di DUN ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran projek itu di Surau Tanjung Kedepan, Batu Rakit, di sini baru-baru ini

Dalam pada itu, Mohd Shafizi berkata, pihaknya mengalu-alukan individu yang memerlukan untuk mengambil barang keperluan harian itu.

“Mereka boleh mengambil barang tersebut namun berharap mengikut apa yang diperlukan sahaja. Sasaran kita ialah membantu sebanyak mungkin penduduk sekitar daerah ini yang berada dalam kesusahan.

“Bagaimanapun, kami meminta mereka yang mengambil bahan makanan untuk mencatatkan butiran diri pada buku catatan yang disediakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga mengalu-alukan orang ramai serta syarikat swasta untuk memberikan sumbangan bahan makanan kepada pihak JPKK.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan wang tunai boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam, Batu Rakit Care (13062010005732).


Tag: