• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Giatkan Pembersihan Setempat, Cegah Pembiakkan Aedes

DUNGUN, 24 September - Masyarakat digesa untuk menggiatkan serta memberi penekanan kepada aspek penjagaan kebersihan setempat dengan mengamalkan amalan gotong-royong bagi mencegah
pembiakkan nyamuk aedes.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, masyarakat sedia maklum kes denggi akan semakin meningkat jika masalah kebersihan tidak dibendung.

"Kita sudah tahu berkenaan penyakit yang kian menular sekarang, jangan tunggu sehingga musibah menimpa keluarga kita baru hendak ambil tindakan. Ini adalah kediaman anda, maka jagalah kebersihan
dan keselamatannya," katanya ketika ditemukan di Pejabat Ahli Parlimen Dungun, di sini kelmarin.

Wan Hassan berkata, kebiasaannya peningkatan kes denggi di sesuatu kawasan adalah berpunca daripada sikap individu itu sendiri yang kurang menjaga kebersihan persekitaran rumahnya.

"Berapa ramai di antara kita yang prihatin menjaga kebersihan persekitaran.

"Tidak perlu pergi terlalu jauh, cuba perhatikan di kediaman kita, rumah kita, pasti ada yang kita terlepas pandang, sebagai contoh air yang bertakung pada bekas yang tidak digunakan,bekas tong, kolah, pasu dan lain lain," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mahu komuniti setempat bersama mengambil sikap cakna ataupun bertanggungjawab untuk menjaga persekitaran melalui aktiviti gotong-royong.

"Aktiviti gotong-royong tidak bermakna mendapatkan orang luar untuk datang membersihkan kawasan kediaman kita. Ia bermaksud ahli masyarakat sesuatu tempat bekerja bersama untuk menjaga
kebersihan tempat itu," katanya.

Beliau turut menyatakan harapan supaya para ibu bapa mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi mengenai kepentingan menjaga kebersihan.

 


Tag: