• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 4 Julai - Seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemberian borang tersebut adalah hentian terakhir sebelum penerima mendapat geran hak milik kekal.

"Selepas penerima menjelaskan bayaran premium tanah, peserta akan dapat geran hak milik dengan tempoh pajakan selama 99 tahun.

"Sebelum ini tempoh pajakan tanah pertanian ialah 60 tahun. Kerajaan Terengganu sekarang telah naikkan kepada 99 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Jadual 5A RTB Belimbing Api, RTB Bukit Tasik dan RTB Pasir Tawar Jabi di Dewan Sivik Jabi di sini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, para peserta juga perlu menjelaskan kadar bayaran premium dalam masa tiga bulan.

"Sekiranya tidak mampu, buatlah surat rayuan untuk lanjutan bayaran selama tiga bulan. Sebaiknya kita mahu selesaikan pemberian geran dengan cepat.

"Usahalah sedaya yang mampu untuk menjelaskan bayaran premium tanah dan jangan bandingkan dengan premium tanah 20 tahun dulu. Malah, jangan bandingkan dengan RTB Belimbing Api kerana ia merupakan RTB Terkilan," ujarnya.

Katanya lagi, bagi yang berpendapatan rendah atau RM 1,700 ke bawah sebulan, penerima boleh membuat rayuan untuk membayar secara ansuran selama tiga tahun.

"Bagi penerima yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), e-Kasih pula, boleh mohon bayaran premium pada kadar nominal (RM100). Satu lagi usaha kerajaan untuk permudahkan urusan," katanya.

Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat mengharapkan penerima tanah pertanian memajukan sebaik mungkin tanah yang diperolehi.