• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Golongan Belia Digalak Mohon RMM Atas Talian

DUNGUN, 16 Ogos- Golongan belia khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi digalak membuat permohonan Rumah Mampu Milik (RMM) menerusi atas talian (e-Perumahan). 

Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, laman sesawang bahagian perumahan melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

"Dengan mana, anak-anak muda yang dah berkahwin berhajat untuk mendapatkan RMM boleh sama-sama mengisi borang berkenaan bagi memungkinkan RMM dapat didirikan di DUN Bukit Besi.

"Kerana masalah utama anak muda Bukit Besi, apabila kita turun ke lapangan adalah ramai yang menyatakan keinginan untuk memiliki RMM. Tapi malangnya perolehan maklumat yang didapati menyatakan hanya 1,800 sahaja yang mengisi borang berkenaan, sedikit sangat jika dibandingkan dengan DUN yang lain termasuk Paka, Rantau Abang dan Sura. Sedangkan ramai yang berkeinginan bagi mendapatkan RMM.

"Tindakan daripada warga Bukit Besi terutamanya dari  kalangan generasi kedua sangat perlu bagi mengisi borang berkenaan, dan kita di peringkat DUN sedia untuk memberi tunjuk ajar dan panduan bagi mengisi borang berkenaan jika sekiranya memang layak untuk dipertimbangkan bagi mendapatkan RMM," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas merasmikan Program Pengagihan Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) di Balairaya Taman Setia, semalam.

Katanya, semua manifesoto dijanjikan kerajaan negeri telah terlaksana di DUN Bukit Besi, termasuk pemberian LMTS berkenaan kecuali RMM masih belum terlaksana yang perlu dibuktikan dengan kesungguhan.

"Untuk tahun ini seramai 552 penerima dari DUN Bukit Besi untuk LMTS daripada jumlah keseluruhan daerah Dungun seramai 2,139 yang layak mendapat baucer berkenaan.

"Semoga proses bagi mendapatkan lesen berkenaan melalui kursus secara praktikal dan teori dapat diikuti dengan sebaik-baiknya demi keselamatan dan kesejahteraan penunggang," ujarnya.

 

 

 


Tag: